Monday, May 10, 2010

PERANAN KERAJAAN DALAM PEMBANGGUNAN ANIMASI DI MALAYSIA


Assalamualaikum.

Penulis bukanlah seorang yang mempunyai kepakaran dalam bidang animasi mahupun mempunyai ilmu yang cukup meluas untuk memperkatakan mengenai perkembangan industri animasi di Malaysia ini. Namun sebagai rakyat biasa, penulis berasa tidak ada salahnya untuk penulis menyampaikan pandangan penulis mengenai perkembangan industri animasi di Malaysia. (Itulah peranan blog, platform kepada sesiapa sahaja untuk berbicara).

Sebentar tadi penulis baru melawat laman web Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak. Dalam laman web 1 Malaysianya, penulis tertarik dengan pendapatnya mengenai keperluan memajukan industri animasi di Malaysia. Keprihatinan Perdana Menteri (Kemungkinan) mengenai industri animasi di Malaysia membuktikan bahawa, kerajaan tidak pernah terlepas pandang dengan golongan karyawan seni kreatif ini.

Bukan mudah untuk melihat seorang Perdana Menteri melihat industri kreatif sebagai satu unsur penting dalam pembinaan negara bangsa. Mungkin Najib Razak mengambil pendekatan Mantan Perdana Menteri Malaysia ke 4, Tun Dr Mahathir yang (agaknya) mengambil perhatian mengenai karyawan seni dalam bidang perfileman, yang dapat dibuktikan dengan impiannya mahu menjadikan E-Village sebagai Hollywood Malaysia (Tetapi sayangnya E-Village terkubur sebelum mula beroperasi).

Berdasarkan pengetahuan penulis, perkembangan animasi di Malaysia bermula dengan lahirnya 'Unit Filem Malaya' pada tahun 1946, atau kini lebih dikenali dengan nama 'Filem Malaysia'. Animasi 'Hikayat Sang Kancil' merupakan animasi pertama yang dihasilkan oleh Malaysia pada tahun 1978, dan ianya mula ditayangkan di kaca televisyen sekitar tahun 1983 (Penulis masih ingat beberapa babak dalam cerita berkenaan & ianya selalunya ditayangkan di TV Pendidikan). Filem pendek yang lain pula ditayangkan setahun selepas animasi Sang Kancil dipancarkan ke kaca TV. Dan antara animasi tersebut mengadaptasi cerita kanak-kanak tradisional seperti Sang Kancil & Monyet, Sang Kancil & Buaya, Gagak Yang Bijak, Arnab Yang Sombong dan Singa Yang Haloba.

Dan setelah tahun tersebut, Malaysia sunyi dengan sebarang penghasilan animasi, sehinggalah tahun 1998, filem animasi Pertama Malaysia, Silat Lagenda menjengah ke pawagam, sekaligus membuka minda masyarakat mengenai kepakaran anak tempatan dalam menghasilkan animasi.

Oh tidak terlupa juga, animasi Usop Sontorian yang lahir pada tahun 1990an dengan teknologi digital pertama, sekaligus menjadi animasi bersiri pertama Malaysia yang ditayangkan di kaca televisyen. Ini diikuti dengan siri animasi seperti 'Yokies', 'Sang Wira'(Sempena Sukan Komenwel 1998), 'Kampung Boy (Karya Datuk Lat)' 'Anak-anak Sidek', 'Keluang Man' dan lain-lain lagi.

Filem Upin dan Ipin pula dilihat menjadi satu bahan ikutan kepada anak-anak kecil dan juga kaum dewasa pada hari ini. Secara tidak lansungnya membuktikan animasi mempunyai 'kuasa' dan daya penariknya yang tersendiri.

Sekiranya kita merujuk ke negara barat terutama Amerika Syarikat, kita dapat lihat animasi ini merupakan platform bagi mereka untuk menyampaikan mesej ideologi kekuatan Amerika Syarikat kepada kanak-kanak di seluruh dunia. Dan bayangkanlah sekiranya sejak dari kecil lagi kita disajikan dengan animasi yang menampilkan kehebatan Amerika, secara tidak lansung kita sendiri secara tidak disedari akan membuat tanggapan 'hebat' mengenai negara berkenaan.

Selain itu animasi juga dapat dijadikan satu produk identiti Malaysia. Sepertimana yang kita ketahui, sejak akhir-akhir ini, Malaysia telah dituduh 'mencuri' kebudayaan negara lain hanya disebabkan kesilapan yang dilakukan oleh pihak ketiga. Dan kita sendiri lihat bagaimana Malaysia dihina dengan begitu teruk oleh bangsa yang lupa dengan konsep serumpun. Maka melalui animasi, kita dapat melahirkan satu lagi ikon baru bagi Malaysia.

Dan ini telah dilakukan oleh Jepun sejak dari dahulu lagi. Bangsa Jepun telah mencipta ikon mereka melalui animasi. Doreamon, Shin Chan, Detective Conan adalah nama-nama kartun yang secara tidak lansungnya mempromosikan budaya Jepun kepada masyarakat luar.

Dan hari ini kerajaan telah menyedari keberkesanan animasi dalam membentuk pemikiran rakyatnya. Usaha Najib memperkasakan kembali dunia animasi Malaysia melalui galakkan kemasukkan pelabur luar ke dalam MDeC merupakan satu langkah awal dalam menghidupkan kembali animasi di Malaysia.

Sumber : PENA MINANG

No comments: