Wednesday, May 19, 2010

PERANAN PERTUBUHAN BELIA DALAM MEMBANTERAS GEJALA SOSIAL*

PERANAN PERTUBUHAN BELIA DALAM MEMBANTERAS GEJALA SOSIAL*

1.0 MUKADDIMAH
Dunia sedang menghadapi alaf baru. Banyak perubahan sedang berlaku dan memberi kesan kepada cara hidup, sosioekonomi, sistem kepercayaan, nilai dan moral masyarakat yang terlibat dengan perubahan ini. Malaysia sebuah negara yang konservatif dengan budaya timur tidak terlepas daripada ancaman ini.

Keruntuhan nilai sosial dikalangan belia mula menular pada awal 1960an namun tahap peningkatan gejala keruntuhan nilai sosial ini semakin meruncing hingga ke hari ini. Keadaan ini amat membimbangkan kerana golongan belia adalah aset penting bagi masa depan negara.
Pertubuhan belia di negara ini, bermula sejak tertubuhnya Pertubuhan Pengakap pada 1903. Sejak itu pelbagai pertubuhan belia telah tumbuh dan menjadi amat popular sebagai wadah menghimpunkan golongan belia dalam merencanakan pelbagai aktiviti untuk faedah masyarakat. Pada tahun 2000 terdapat 5,500 pertubuhan belia di seluruh Negara dan bilangan ini meningkat ke 8,000 pada tahun 2005. Keahlian juga telah meningkat kepada 2.8 juta pada tempoh yang sama.

Persoalan timbul, dimana perginya baki belia seramai 9 juta yang tidak menyertai pertubuhan belia? Anggapan timbul menyatakan kumpulan inilah yang sering dikaitkan dengan gejala sosial akibat kurangnya pendedahan dan penglibatan dalam kegiatan-kegiatan sihat yang dapat mengelakkan mereka daripada terjerumus dengan gejala sosial, umpamanya penagihan dadah, lumba haram (Mat Rempit & Minah Rempit), gangsterism, perjudian, penagihan arak, pergaulan bebas, pelacuran dan lain-lain.


2.0 PERANAN PERTUBUHAN BELIA

Pertubuhan belia mempunyai segala potensi untuk berperanan sebagai agen perubahan dalam membanteras gejala sosial. Potensi ini akan menjadi kenyataan apabila belia berkeupayaan menjana potensi yang ada melalui saluran yang disediakan oleh pihak kerajaan mahupun pihak-pihak lain yang terbabit. Pengiktirafan oleh semua pihak perlu dalam meletakkan pertubuhan belia samaada diperingkat kebangsaan, negeri dan daerah sebagai ‘one stop center’ bagi penganjuran aktiviti yang melibatkan belia dan masyarakat.
Dalam menguruskan era bordeless world yang bercirikan pengaliran maklumat dan dagangan secara bebas sedikit sebanyak telah menyebabkan belia terdedah kepada gejala negatif yang bersifat global. Sehubungan itu, antara peranan yang boleh dijalankan ialah :

a)Menambah Keahlian Belia Dalam Pertubuhan
b)Merekayasa Dan Memperkasa Aktiviti
c)Rakan Bijak Dalam Membanteras Gejala Sosial
d)Memasyarakatkan Pertubuhan Belia
e)Memperkasakan Pertubuhan Belia

2.1 MENAMBAH KEAHLIAN BELIA DALAM PERTUBUHAN

Ramai pemimpin menyebut belia yang bermasalah adalah belia yang tidak berpersatuan. Justeru itu perlu ada usaha yang lebih giat dan berterusan untuk menambah keahlian belia dalam pertubuhan-pertubuhan belia di seluruh negara. Pada tahun 2005 hanya 2.8 juta belia menganggotai pertubuhan belia dan bilangan ini hanya merupakan 26 peratus daripada golongan belia dalam kumpulan umur 15-39 tahun. Mungkin Jadual 1.1 boleh dijadikan rujukan untuk renungan kita bersama.

Majlis Belia Malaysia (MBM) menyokong penubuhan Kelab Rakan Muda Wawasan Desa di setiap KADUN yang mensasarkan keahlian belia yang berumur antara 17 – 25 tahun dan mendapat peruntukan tetap tahunan. Walaubagaimapun pelaksanaannya perlu dibuat secara bijak bagi mengelakkan konflik yang boleh menyebabkan pertubuhan sedia ada merasa di ‘anaktirikan’ oleh KBS.

Lebih ramai belia yang menyertai pertubuhan belia, lebih banyak program berfaedah dapat mereka sertai dan ini dapat membendung godaan anasir-anasir negatif yang semakin berleluasa dewasa ini.

2.2MEREKAYASA & MENYEGARKAN AKTIVITI

Pertubuhan belia harus memikirkan aktiviti yang dapat menarik minat golongan belia ataupun menyesuaikan pendekatan untuk menarik lebih ramai belia menyertai program-program yang dianjurkan. Sindrom ‘muka yang sama’ menyertai program yang dianjurkan oleh KBS ataupun pertubuhan belia harus dihapuskan agar lebih ramai muka-muka baru beroleh faedah melalui aktiviti yang dijalankan.
MBM amat tertarik dengan pembinaan Kompleks Rakan Muda di setiap negeri (kecuali Perlis) dan kemudahan-kemudahan untuk kegunaan belia. Bagaimanapun terdapat kemudahan ini yang mula rosak dan tidak mendapat penyelenggaraan yang sewajarnya daripada pihak berkaitan. MBM berharap pertubuhan belia diberi sedikit keistimewaan dalam menggunakan kemudahan-kemudahan ini.
Aktiviti-aktiviti yang segar (up to date) dan bersifat mendidik harus diperbanyakkan bagi menghasilkan generasi muda yang lebih berwawasan. Membanteras gejala sosial memerlukan aktiviti yang lebih berfokus dan berkesan.
Sehubungan dengan itu, MBM menyarankan agar lebih banyak program yang berunsurkan pendidikan dijalankan agar lebih ramai belia lebih memahami ancaman dan risiko yang terpaksa ditanggung akibat terjebak dalam gejala sosial ini.

2.3 RAKAN BIJAK MEMBANTERAS GEJALA SOSIAL

Dengan ahli seramai 2.8 juta orang di segenap pelusuk negara merupakan sinergi yang boleh digembeling secara maksima untuk kebaikan masyarakat. Pertubuhan belia dapat menjadi mata dan telinga dalam memantau gejala sosial yang berlaku di tempat mereka.
Pertubuhan belia boleh menjalankan kempen dikalangan ahli untuk meningkatkan rasa tanggungjawab terhadap usaha membanteras gejala sosial. Program Belia Prihatin boleh dikembangkan mengambil contoh program ‘Rakan Cops’ yang dijalankan oleh Polis Di Raja Malaysia (PDRM). Belia setempat lebih mengenali permasalahan setempat kerana mereka membesar,tinggal dan bergaul dengan masyarakat di situ. Justeru itu, sewajarnya inisiatif sebegini diambil bagi mewujudkan perasaan kekitaan dalam menangani masalah sosial ini.
MBM ingin mencadangkan agar satu penerangan lengkap mengenai senario gejala sosial diadakan kepada kepimpinan belia agar informasi yang berkaitan dapat disalurkan kepada semua ahli. Satu program khas iaitu ‘Belia Melihat & Mendengar’ dipertimbangkan. Mungkin program ini boleh diintegrasikan dengan program-program lain yang bersesuaian.
Pelbagai agensi boleh dilibatkan antaranya Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Majlis Agama Islam, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO’s) dan organisasi serta agensi yang berkaitan untuk mengerakkan usaha secara bersepadu dan menyeluruh.

2.4 MEMASYARAKATKAN PERTUBUHAN BELIA

Di alaf baru ini pertubuhan belia sepatutnya memainkan berperanan yang global dan mencabar. Tidak hanya tertumpu kepada ahli ataupun menghadkan penyertaan kepada golongan muda sahaja. Walaupun keahlian perlu mematuhi peraturan-peraturan dan syarat-syarat yang telah ditetapkan,program-program tertentu yang dianjurkan perlu dipelbagaikan penyertaannya.
Hubungan yang erat bersama masyarakat dapat memastikan jurang antara golongan muda dan golongan tua dirapatkan. ‘Mana ada yang muda jika tiada yang tua’. Bukankah yang tua itu lebih dahulu makan garamnya? Justeru itu dalam menentukan keberkesanan program pendekatan bersifat holistik harus di ambil. Hubungan simbiosis yang wujud antara setiap anggota masyakakat jika digembeling dengan betul dapat melahirkan generasi yang bebas daripada gejala sosial.
Pertubuhan belia harus berani menilai peranan dan pendekatan yang dibuat. Paul Getty, motivator terkenal barat ada menyebut, “Jika kita ingin berjaya kita perlu menetapkan matlamat dan berani mendapatkannya”. Justeru itu kepimpinan pertubuhan belia harus bermuhasabah dan sanggup bersusah payah menukar paradigma pemikiran kepimpinan belia masa kini serta pengikut mereka.
Firman Allah dalam Surah A-Balad ayat ke 4,
“Sesungguhnya manusia itu dijadikan dalam keadaan bersusah payah”
Justeru itu gerakan pertubuhan belia perlu diberi tafsiran baru, “movement of the youth, by the youth, for the people”.

2.5 MEMPERKASAKAN PERTUBUHAN BELIA
Kajian yang dibuat oleh Dato’ Saifuddin Abdullah pada tahun 1997 hingga 1998 mendapati sebahagian besar pertubuhan belia menghadapi pelbagai masalah dan perlu diperkasakan. Hanya pertubuhan kuat dan mantap dapat berfungsi dengan baik serta mampu memainkan peranan aktif dalam membanteras gejala sosial.
Antara kelemahan utama yang dikenalpasti ialah kekurangan dana untuk menjalankan program, pengurusan yang tidak cekap, kepimpinan yang kurang menarik dan jaringan yang terhad.
Selain dari memperbanyakkan pertubuhan belia, usaha memperkasakan pertubuhan sedia ada perlu diutamakan. Program “Pengupayaan Pertubuhan Belia” yang pernah dibuat oleh Kementerian Belia Dan Sukan (KBS) beberapa tahun yang lampau
perlu dihidupkan semula kerana terbukti mampu mengaktifkan sesetengah pertubuhan belia yang hampir berkubur.
Pertubuhan belia perlu mengelakkan kebergantungan dan mengelakkan pembaziran dalam menganjurkan program-program. Peranan pertubuhan belia bukan hanya mampu setakat menjalankan program melalui dana yang terhad tetapi harus memikirkan sumber-sumber dana yang lain untuk membiayai program-program.
Walaubagaimanapun MBM berharap KBS sebagai sumber utama yang menyalurkan bantuan kewangan kepada pertubuhan belia dapat meneruskan komitmen disamping berusaha membantu pertubuhan belia meneruskan ‘survival’ dalam menjadi pemangkin pembangunan belia negara.
Melalui peremajaan pertubuhan belia apabila akta belia yang baru dikuatkuasakan nanti maka wajah baru kepimpinan belia diharapkan mampu menarik lebih ramai golongan belia menyertai pertubuhan belia. Sekaligus pertubuhan belia akan mendapat suntikan semangat baru yang meminimakan penglibatan belia dalam gejala yang kurang sihat.
Disamping itu pertubuhan belia perlu mengambil langkah mewujudkan rangkaian dan kerjasama dalam penganjuran program. Konsep perkongsian bijak ini dapat merealisasikan hasrat memperbanyakkan aktiviti dan menampung keperluan sosial belia.
MBM berharap lebih banyak kementerian dan agensi tampil untuk bekerjasama dengan MBM ataupun mana-mana pertubuhan belia seperti kerjasama MBM dengan beberapa kementerian antaranya Kementerian Pembangunan Usahawan Dan Koperasi, Kementerian
Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat, Kementerian Kesenian dan Warisan dan beberapa agensi kerajaan serta swasta yang lain seperti Celcom dan Telekom Malaysia.

3.0 BELIA DAN MASA DEPAN NEGARA – Saranan dan Cadangan

3.1 Pelan Tindakan Pembangunan Belia Nasional yang dilancarkan pada tahun 2004 yang mengandungi 11 teras dalam pembangunan belia merangkumi kesejahteraan sosioekonomi, bina upaya, kualiti kepimpinan, penyertaan dalam Program Rakan Muda, integrasi sosial dan kesedaran politik di kalangan belia adalah landasan terbaik untuk memacu generasi muda ke tahap yang lebih gemilang. Seharusnya pelan ini terus menjadi landasan kepada perancangan dan aktiviti belia.

3.2 Majlis Perundingan Belia Negara telah berfungsi dengan baik melalui komitmen pelbagai perwakilan yang merangkumi pemimpin belia, ahli akademik, golongan politik dan sebagainya. Walaubagaimanapun masih banyak ruang untuk diperbaiki, contohnya kegagalan Majlis Perundingan diperingkat negeri untuk bersidang dan gagal mengambil tindakan seperti yang diputuskan semasa persidangan. Kegagalan ini memberi impak yang besar kepada pelaksanaan program-program di peringkat akar umbi hingga menyebabkan kumpulan sasaran yakni belia terus terbiar dan tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya.

3.3 Akta Belia Negara dijangka akan diluluskan di Parlimen pada pertengahan 2007 dan digunapakai mulai 2008. Akta ini dijangka berupaya menyelesaikan permasalahan yang dihadapi sebahagian pertubuhan belia yang lesu akibat krisis kepimpinan yang sering berlaku. Disamping itu, sistem pengurusan pertubuhan yang lebih bersistematik dan cekap dapat dilaksanakan dalam meningkatkan profesionalisme gerakan belia di negara ini.
Walaubagimanapun strategi yang lebih jelas perlu dibuat dalam pelaksanaan Akta ini, contohnya formula dalam menentukan peruntukan kepada setiap pertubuhan belia. Ini bagi mengelakkan daripada akta ini dilihat sebagai memperkasakan KBS dan bukannya memperkasakan pertubuhan belia.

3.4 Majlis Belia Malaysia dan badan-badan gabungan telah mengambil langkah proaktif dalam memperkemaskan hala tuju dan gerakerja yang sedang dan akan dilaksanakan. MBM meneruskan agenda besar negara Menggerak Belia Malaysia dengan memberi penekanan kepada 5 perkara utama iaitu ilmu pengetahuan, masalah sosial dan dadah, memasyarakatkan persatuan belia, mengantarabangsakan belia Malaysia dan keahlian pertubuhan belia dan program utama yang dijalankan adalah, Program Keusahawanan Belia, Program Kepimpinan Belia, Bicara Belia bersama MBM, Bakti Belia, dan MBM to the World. Antara aspek yang diberi penekanan ialah program MBM dalam membanteras gejala sosial seperti Siri Program BAKTI BELIA - Belia Benci Dadah dengan kerjasama Kementerian Belia Dan Sukan yang akan dilaksanakan di setiap negeri. MBM juga telah mengambil inisiatif besar dengan menganjurkan Pesta Sukan dan Kebudayaan, MBM-Telekom Malaysia yang diadakan mengikut zon di seluruh negara. Selain daripada itu forum X-PRESI Remaja turut diadakan oleh MBM dengan kerjasam Celcom. Program ini bakal diadakan di pasaraya besar seluruh negara, dimana disini remaja diajak untuk berbicara mengenai agenda besar negara malalui aspek remaja dan perbincangan yang membicarakan isu belia kontemperor dengan menampilkan tokoh belia, selebriti terkenal tanah air, dan idola remaja dan dijangka bermula pada April ini. Konvensyen Pemimpin Muda dan Siri Latihan Pemimpin Muda dan banyak lagi program untuk menarik minat belia turut diadakan bagi mencari dan mengkader pemimpin muda untuk masa depan negara. Diharapkan dengan cara ini lebih ramai belia akan tertarik untuk menyertai pertubuhan belia.

3.5 Kementerian Belia Dan Sukan melalui pelbagai program yang telah dan akan dijalankan berjaya memastikan golongan belia terus maju selaras dengan keperluan semasa. Program Rakan Muda akan terus diperkukuh untuk memberi penekanan kepada kumpulan sasar khususnya golongan belia yang berada di luar sistem pendidikan dan belia yang menganggur kerana mereka merupakan golongan yang mudah terpengaruh dalam gejala sosial. Dengan kerjasama Jabatan Perpaduan Dan Integrasi Nasional, Program Rakan Muda Jiran Muda yang mensasarkan penyertaan mereka yang berumur di bawah 15 tahun akan diteruskan. Program Memperkasa Tenaga Muda @ Program Jatidiri Kesukarelaan Nasional yang mensasarkan belia yang tidak terpilih menyertai PLKN telah dilaksanakan mulai 2006 dan akan dimantapkan pelaksanaan dari masa ke semasa. Melalui program-program ini, belia akan mempunyai jati diri yang kukuh dan mampu mengelakkan diri daripada terjebak dengan gejala sosial.

3.6 Kerajaan juga telah lama komited dalam pembangunan belia. Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) telah dilaksanakan sejak 2003 di 76 buah kem latihan di seluruh negara. Sehingga akhir tahun 2005, seramai 135,700 belia telah dilatih dalam program yang memakan masa selama 3 bulan merangkumi modul pembangunan fizikal dan mental, pembinaan sahsiah disamping menyemai semangat cintakan tanah air. MBM berharap banyak ruang dan peluang diberikan kepada pertubuhan belia untuk bersama dalam menjayakan program ini.

3.7 Sebanyak RM 5.4 bilion telah diperuntukkan di bawah RMKe-9 bertujuan untuk mengupayakan belia meliputi pelbagai program latihan kemahiran dan kepimpinan yang akan dilaksanakan oleh Kementerian Belia Dan Sukan, Kementerian Pembangunan Usahawan Dan Koperasi serta Kementerian Sumber Manusia. Melalui penambahan peruntukan ini kerajaan beriltizam untuk memastikan generasi muda di Malaysia mampu cemerlang bukan hanya di arena tempatan tetapi juga di arena antarabangsa. Seharusnya pertubuhan
belia menggambil peluang tersebut di atas bagi membantu mendanai aktiviti mereka. Pegawai di kementerian terbabit seharusnya menjemput wakil belia dalam semua perbincangan dan aktiviti tersebut.

3.8 Berdasarkan takrifan belia dari umur 15-40 tahun, maka program pembangunan belia harus dipikul secara bersama oleh semua kementerian, kerajaan negeri mahupun PBT. Sudah tiba masanya pendekatan rentas kementerian (cross ministrial) diberi keutamaan dalam aspek pembangunan belia. Tentunya untuk mencapai maksud tersebut maka dicadangkan satu badan koordinator yang berpusat atau sebuah suruhanjaya perlu diwujudkan bagi maksud tersebut di atas.

3.9 Memperkemaskan kepimpinan dan pentadbiran pertubuhan belia melalui peningkatan pengetahuan dan kemahiran.
Setiap daripada pemimpin pertubuhan dan ahli pertubuhan perlu meningkatkan pengetahuan dan kemahiran pengurusan. Kursus perlu diikuti.
Ilmu pengurusan meliputi pentadbiran projek, pengurusan masa yang berkesan, mengurus rekod, sistem fail, surat, mengendalikan mesyuarat, pengurusan masalah, pengurusan kewangan, ICT dan lain-lain. Perbincangan secara telus, bersikap terbuka, berpatisipasi secara aktif dalam apa jua program dan perbincangan. Perlu melahirkan masyarakat yang berilmu dan bermaklumat.

3.10 Merancakkan aktiviti ekonomi oleh ahli pertubuhan belia berteraskan IKS makanan, pertanian, penternakan dan pelancongan.
Pertubuhan belia dan ahli pertubuhan berupaya merancakkan aktiviti ekonomi. Ia juga boleh mengurangkan pengangguran dan masalah sosial dalam negara. Banyak kursus dan program yang ditawarkan oleh Kerajaan mahupun swasta dalam aktiviti ekonomi ini. Ia perlu diterokai oleh semua ahli pertubuhan.

3.11 Memupuk semangat muhibbah dan toleransi tinggi
Pertubuhan belia berperanan besar sebagai agen pemersatu dan pemupukan semangat muhibbah antara kaum, agama dan budaya. Guna aktiviti kemasyarakatan, budaya dan kesenian sebagai pencetus semangat ini.

3.12 Agen Perubahan Masyarakat
Pertubuhan belia perlu bertindak sebagai agen perubah dalam masyarakat. Wujudkan suasana harmoni dan gaya hidup sihat. Membantu kerajaan dalam membasmi masalah sosial seperti dadah, mat rempit, rasuah dan lain-lain. Menjadi mata dan telinga kerajaan dalam usaha membasmi gejala tidak bermoral.

3.13 Mengatur program untuk orang muda
MBM percaya bahawa orang muda boleh didekati apabila kita mengurus dan mengenali minat mereka. Justeru cabaran pertubuhan belia mengenal pasti minat mereka dan mengaturkan program untuk mereka. Dengan mengenali dan memahami kehendak mereka, pertubuhan belia akan diminati dan ramai yang akan terlibat dengan aktiviti pertubuhan belia serta berjaya meramaikan ahli pertubuhan belia.
Pertubuhan belia diberikan tanggungjawab mengatur program manakala pihak yang berwajib seperti KBS bertindak sebagai pemantau program, koordinator antara jabatan atau kementerian.

4.0 JUSTIFIKASI
Dalam menangai gejala sosial semua pihak harus bertindak secara kolektif dan berterusan. Pendekatan baru yang sedikit radikal mungkin amat diperlukan dalam merealisasikan hasrat kerajaan dalam melahirkan rakyat Malaysia yang Hadhari dan disegani oleh semua bangsa di dunia ini. Apatah lagi wawasan 2020 juga semakin hampir dan kita semakin kesuntukan masa.
“Generasi muda adalah tunas dan tenaga baru amat penting kepada pembangunan negara memandangkan mereka adalah pewaris kepada apa yang ditinggalkan generasi lama”


Ucapan YAB. Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi semasa Sambutan Tahun Baru Cina anjuran Pertubuhan Belia Cina (EMCO), pada 9 Februari 2004.

No comments: