Wednesday, May 19, 2010

PERANAN PERTUBUHAN BELIA DALAM MEMBANTERAS GEJALA SOSIAL*

PERANAN PERTUBUHAN BELIA DALAM MEMBANTERAS GEJALA SOSIAL*

1.0 MUKADDIMAH
Dunia sedang menghadapi alaf baru. Banyak perubahan sedang berlaku dan memberi kesan kepada cara hidup, sosioekonomi, sistem kepercayaan, nilai dan moral masyarakat yang terlibat dengan perubahan ini. Malaysia sebuah negara yang konservatif dengan budaya timur tidak terlepas daripada ancaman ini.

Keruntuhan nilai sosial dikalangan belia mula menular pada awal 1960an namun tahap peningkatan gejala keruntuhan nilai sosial ini semakin meruncing hingga ke hari ini. Keadaan ini amat membimbangkan kerana golongan belia adalah aset penting bagi masa depan negara.
Pertubuhan belia di negara ini, bermula sejak tertubuhnya Pertubuhan Pengakap pada 1903. Sejak itu pelbagai pertubuhan belia telah tumbuh dan menjadi amat popular sebagai wadah menghimpunkan golongan belia dalam merencanakan pelbagai aktiviti untuk faedah masyarakat. Pada tahun 2000 terdapat 5,500 pertubuhan belia di seluruh Negara dan bilangan ini meningkat ke 8,000 pada tahun 2005. Keahlian juga telah meningkat kepada 2.8 juta pada tempoh yang sama.

Persoalan timbul, dimana perginya baki belia seramai 9 juta yang tidak menyertai pertubuhan belia? Anggapan timbul menyatakan kumpulan inilah yang sering dikaitkan dengan gejala sosial akibat kurangnya pendedahan dan penglibatan dalam kegiatan-kegiatan sihat yang dapat mengelakkan mereka daripada terjerumus dengan gejala sosial, umpamanya penagihan dadah, lumba haram (Mat Rempit & Minah Rempit), gangsterism, perjudian, penagihan arak, pergaulan bebas, pelacuran dan lain-lain.


2.0 PERANAN PERTUBUHAN BELIA

Pertubuhan belia mempunyai segala potensi untuk berperanan sebagai agen perubahan dalam membanteras gejala sosial. Potensi ini akan menjadi kenyataan apabila belia berkeupayaan menjana potensi yang ada melalui saluran yang disediakan oleh pihak kerajaan mahupun pihak-pihak lain yang terbabit. Pengiktirafan oleh semua pihak perlu dalam meletakkan pertubuhan belia samaada diperingkat kebangsaan, negeri dan daerah sebagai ‘one stop center’ bagi penganjuran aktiviti yang melibatkan belia dan masyarakat.
Dalam menguruskan era bordeless world yang bercirikan pengaliran maklumat dan dagangan secara bebas sedikit sebanyak telah menyebabkan belia terdedah kepada gejala negatif yang bersifat global. Sehubungan itu, antara peranan yang boleh dijalankan ialah :

a)Menambah Keahlian Belia Dalam Pertubuhan
b)Merekayasa Dan Memperkasa Aktiviti
c)Rakan Bijak Dalam Membanteras Gejala Sosial
d)Memasyarakatkan Pertubuhan Belia
e)Memperkasakan Pertubuhan Belia

2.1 MENAMBAH KEAHLIAN BELIA DALAM PERTUBUHAN

Ramai pemimpin menyebut belia yang bermasalah adalah belia yang tidak berpersatuan. Justeru itu perlu ada usaha yang lebih giat dan berterusan untuk menambah keahlian belia dalam pertubuhan-pertubuhan belia di seluruh negara. Pada tahun 2005 hanya 2.8 juta belia menganggotai pertubuhan belia dan bilangan ini hanya merupakan 26 peratus daripada golongan belia dalam kumpulan umur 15-39 tahun. Mungkin Jadual 1.1 boleh dijadikan rujukan untuk renungan kita bersama.

Majlis Belia Malaysia (MBM) menyokong penubuhan Kelab Rakan Muda Wawasan Desa di setiap KADUN yang mensasarkan keahlian belia yang berumur antara 17 – 25 tahun dan mendapat peruntukan tetap tahunan. Walaubagaimapun pelaksanaannya perlu dibuat secara bijak bagi mengelakkan konflik yang boleh menyebabkan pertubuhan sedia ada merasa di ‘anaktirikan’ oleh KBS.

Lebih ramai belia yang menyertai pertubuhan belia, lebih banyak program berfaedah dapat mereka sertai dan ini dapat membendung godaan anasir-anasir negatif yang semakin berleluasa dewasa ini.

2.2MEREKAYASA & MENYEGARKAN AKTIVITI

Pertubuhan belia harus memikirkan aktiviti yang dapat menarik minat golongan belia ataupun menyesuaikan pendekatan untuk menarik lebih ramai belia menyertai program-program yang dianjurkan. Sindrom ‘muka yang sama’ menyertai program yang dianjurkan oleh KBS ataupun pertubuhan belia harus dihapuskan agar lebih ramai muka-muka baru beroleh faedah melalui aktiviti yang dijalankan.
MBM amat tertarik dengan pembinaan Kompleks Rakan Muda di setiap negeri (kecuali Perlis) dan kemudahan-kemudahan untuk kegunaan belia. Bagaimanapun terdapat kemudahan ini yang mula rosak dan tidak mendapat penyelenggaraan yang sewajarnya daripada pihak berkaitan. MBM berharap pertubuhan belia diberi sedikit keistimewaan dalam menggunakan kemudahan-kemudahan ini.
Aktiviti-aktiviti yang segar (up to date) dan bersifat mendidik harus diperbanyakkan bagi menghasilkan generasi muda yang lebih berwawasan. Membanteras gejala sosial memerlukan aktiviti yang lebih berfokus dan berkesan.
Sehubungan dengan itu, MBM menyarankan agar lebih banyak program yang berunsurkan pendidikan dijalankan agar lebih ramai belia lebih memahami ancaman dan risiko yang terpaksa ditanggung akibat terjebak dalam gejala sosial ini.

2.3 RAKAN BIJAK MEMBANTERAS GEJALA SOSIAL

Dengan ahli seramai 2.8 juta orang di segenap pelusuk negara merupakan sinergi yang boleh digembeling secara maksima untuk kebaikan masyarakat. Pertubuhan belia dapat menjadi mata dan telinga dalam memantau gejala sosial yang berlaku di tempat mereka.
Pertubuhan belia boleh menjalankan kempen dikalangan ahli untuk meningkatkan rasa tanggungjawab terhadap usaha membanteras gejala sosial. Program Belia Prihatin boleh dikembangkan mengambil contoh program ‘Rakan Cops’ yang dijalankan oleh Polis Di Raja Malaysia (PDRM). Belia setempat lebih mengenali permasalahan setempat kerana mereka membesar,tinggal dan bergaul dengan masyarakat di situ. Justeru itu, sewajarnya inisiatif sebegini diambil bagi mewujudkan perasaan kekitaan dalam menangani masalah sosial ini.
MBM ingin mencadangkan agar satu penerangan lengkap mengenai senario gejala sosial diadakan kepada kepimpinan belia agar informasi yang berkaitan dapat disalurkan kepada semua ahli. Satu program khas iaitu ‘Belia Melihat & Mendengar’ dipertimbangkan. Mungkin program ini boleh diintegrasikan dengan program-program lain yang bersesuaian.
Pelbagai agensi boleh dilibatkan antaranya Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Majlis Agama Islam, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO’s) dan organisasi serta agensi yang berkaitan untuk mengerakkan usaha secara bersepadu dan menyeluruh.

2.4 MEMASYARAKATKAN PERTUBUHAN BELIA

Di alaf baru ini pertubuhan belia sepatutnya memainkan berperanan yang global dan mencabar. Tidak hanya tertumpu kepada ahli ataupun menghadkan penyertaan kepada golongan muda sahaja. Walaupun keahlian perlu mematuhi peraturan-peraturan dan syarat-syarat yang telah ditetapkan,program-program tertentu yang dianjurkan perlu dipelbagaikan penyertaannya.
Hubungan yang erat bersama masyarakat dapat memastikan jurang antara golongan muda dan golongan tua dirapatkan. ‘Mana ada yang muda jika tiada yang tua’. Bukankah yang tua itu lebih dahulu makan garamnya? Justeru itu dalam menentukan keberkesanan program pendekatan bersifat holistik harus di ambil. Hubungan simbiosis yang wujud antara setiap anggota masyakakat jika digembeling dengan betul dapat melahirkan generasi yang bebas daripada gejala sosial.
Pertubuhan belia harus berani menilai peranan dan pendekatan yang dibuat. Paul Getty, motivator terkenal barat ada menyebut, “Jika kita ingin berjaya kita perlu menetapkan matlamat dan berani mendapatkannya”. Justeru itu kepimpinan pertubuhan belia harus bermuhasabah dan sanggup bersusah payah menukar paradigma pemikiran kepimpinan belia masa kini serta pengikut mereka.
Firman Allah dalam Surah A-Balad ayat ke 4,
“Sesungguhnya manusia itu dijadikan dalam keadaan bersusah payah”
Justeru itu gerakan pertubuhan belia perlu diberi tafsiran baru, “movement of the youth, by the youth, for the people”.

2.5 MEMPERKASAKAN PERTUBUHAN BELIA
Kajian yang dibuat oleh Dato’ Saifuddin Abdullah pada tahun 1997 hingga 1998 mendapati sebahagian besar pertubuhan belia menghadapi pelbagai masalah dan perlu diperkasakan. Hanya pertubuhan kuat dan mantap dapat berfungsi dengan baik serta mampu memainkan peranan aktif dalam membanteras gejala sosial.
Antara kelemahan utama yang dikenalpasti ialah kekurangan dana untuk menjalankan program, pengurusan yang tidak cekap, kepimpinan yang kurang menarik dan jaringan yang terhad.
Selain dari memperbanyakkan pertubuhan belia, usaha memperkasakan pertubuhan sedia ada perlu diutamakan. Program “Pengupayaan Pertubuhan Belia” yang pernah dibuat oleh Kementerian Belia Dan Sukan (KBS) beberapa tahun yang lampau
perlu dihidupkan semula kerana terbukti mampu mengaktifkan sesetengah pertubuhan belia yang hampir berkubur.
Pertubuhan belia perlu mengelakkan kebergantungan dan mengelakkan pembaziran dalam menganjurkan program-program. Peranan pertubuhan belia bukan hanya mampu setakat menjalankan program melalui dana yang terhad tetapi harus memikirkan sumber-sumber dana yang lain untuk membiayai program-program.
Walaubagaimanapun MBM berharap KBS sebagai sumber utama yang menyalurkan bantuan kewangan kepada pertubuhan belia dapat meneruskan komitmen disamping berusaha membantu pertubuhan belia meneruskan ‘survival’ dalam menjadi pemangkin pembangunan belia negara.
Melalui peremajaan pertubuhan belia apabila akta belia yang baru dikuatkuasakan nanti maka wajah baru kepimpinan belia diharapkan mampu menarik lebih ramai golongan belia menyertai pertubuhan belia. Sekaligus pertubuhan belia akan mendapat suntikan semangat baru yang meminimakan penglibatan belia dalam gejala yang kurang sihat.
Disamping itu pertubuhan belia perlu mengambil langkah mewujudkan rangkaian dan kerjasama dalam penganjuran program. Konsep perkongsian bijak ini dapat merealisasikan hasrat memperbanyakkan aktiviti dan menampung keperluan sosial belia.
MBM berharap lebih banyak kementerian dan agensi tampil untuk bekerjasama dengan MBM ataupun mana-mana pertubuhan belia seperti kerjasama MBM dengan beberapa kementerian antaranya Kementerian Pembangunan Usahawan Dan Koperasi, Kementerian
Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat, Kementerian Kesenian dan Warisan dan beberapa agensi kerajaan serta swasta yang lain seperti Celcom dan Telekom Malaysia.

3.0 BELIA DAN MASA DEPAN NEGARA – Saranan dan Cadangan

3.1 Pelan Tindakan Pembangunan Belia Nasional yang dilancarkan pada tahun 2004 yang mengandungi 11 teras dalam pembangunan belia merangkumi kesejahteraan sosioekonomi, bina upaya, kualiti kepimpinan, penyertaan dalam Program Rakan Muda, integrasi sosial dan kesedaran politik di kalangan belia adalah landasan terbaik untuk memacu generasi muda ke tahap yang lebih gemilang. Seharusnya pelan ini terus menjadi landasan kepada perancangan dan aktiviti belia.

3.2 Majlis Perundingan Belia Negara telah berfungsi dengan baik melalui komitmen pelbagai perwakilan yang merangkumi pemimpin belia, ahli akademik, golongan politik dan sebagainya. Walaubagaimanapun masih banyak ruang untuk diperbaiki, contohnya kegagalan Majlis Perundingan diperingkat negeri untuk bersidang dan gagal mengambil tindakan seperti yang diputuskan semasa persidangan. Kegagalan ini memberi impak yang besar kepada pelaksanaan program-program di peringkat akar umbi hingga menyebabkan kumpulan sasaran yakni belia terus terbiar dan tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya.

3.3 Akta Belia Negara dijangka akan diluluskan di Parlimen pada pertengahan 2007 dan digunapakai mulai 2008. Akta ini dijangka berupaya menyelesaikan permasalahan yang dihadapi sebahagian pertubuhan belia yang lesu akibat krisis kepimpinan yang sering berlaku. Disamping itu, sistem pengurusan pertubuhan yang lebih bersistematik dan cekap dapat dilaksanakan dalam meningkatkan profesionalisme gerakan belia di negara ini.
Walaubagimanapun strategi yang lebih jelas perlu dibuat dalam pelaksanaan Akta ini, contohnya formula dalam menentukan peruntukan kepada setiap pertubuhan belia. Ini bagi mengelakkan daripada akta ini dilihat sebagai memperkasakan KBS dan bukannya memperkasakan pertubuhan belia.

3.4 Majlis Belia Malaysia dan badan-badan gabungan telah mengambil langkah proaktif dalam memperkemaskan hala tuju dan gerakerja yang sedang dan akan dilaksanakan. MBM meneruskan agenda besar negara Menggerak Belia Malaysia dengan memberi penekanan kepada 5 perkara utama iaitu ilmu pengetahuan, masalah sosial dan dadah, memasyarakatkan persatuan belia, mengantarabangsakan belia Malaysia dan keahlian pertubuhan belia dan program utama yang dijalankan adalah, Program Keusahawanan Belia, Program Kepimpinan Belia, Bicara Belia bersama MBM, Bakti Belia, dan MBM to the World. Antara aspek yang diberi penekanan ialah program MBM dalam membanteras gejala sosial seperti Siri Program BAKTI BELIA - Belia Benci Dadah dengan kerjasama Kementerian Belia Dan Sukan yang akan dilaksanakan di setiap negeri. MBM juga telah mengambil inisiatif besar dengan menganjurkan Pesta Sukan dan Kebudayaan, MBM-Telekom Malaysia yang diadakan mengikut zon di seluruh negara. Selain daripada itu forum X-PRESI Remaja turut diadakan oleh MBM dengan kerjasam Celcom. Program ini bakal diadakan di pasaraya besar seluruh negara, dimana disini remaja diajak untuk berbicara mengenai agenda besar negara malalui aspek remaja dan perbincangan yang membicarakan isu belia kontemperor dengan menampilkan tokoh belia, selebriti terkenal tanah air, dan idola remaja dan dijangka bermula pada April ini. Konvensyen Pemimpin Muda dan Siri Latihan Pemimpin Muda dan banyak lagi program untuk menarik minat belia turut diadakan bagi mencari dan mengkader pemimpin muda untuk masa depan negara. Diharapkan dengan cara ini lebih ramai belia akan tertarik untuk menyertai pertubuhan belia.

3.5 Kementerian Belia Dan Sukan melalui pelbagai program yang telah dan akan dijalankan berjaya memastikan golongan belia terus maju selaras dengan keperluan semasa. Program Rakan Muda akan terus diperkukuh untuk memberi penekanan kepada kumpulan sasar khususnya golongan belia yang berada di luar sistem pendidikan dan belia yang menganggur kerana mereka merupakan golongan yang mudah terpengaruh dalam gejala sosial. Dengan kerjasama Jabatan Perpaduan Dan Integrasi Nasional, Program Rakan Muda Jiran Muda yang mensasarkan penyertaan mereka yang berumur di bawah 15 tahun akan diteruskan. Program Memperkasa Tenaga Muda @ Program Jatidiri Kesukarelaan Nasional yang mensasarkan belia yang tidak terpilih menyertai PLKN telah dilaksanakan mulai 2006 dan akan dimantapkan pelaksanaan dari masa ke semasa. Melalui program-program ini, belia akan mempunyai jati diri yang kukuh dan mampu mengelakkan diri daripada terjebak dengan gejala sosial.

3.6 Kerajaan juga telah lama komited dalam pembangunan belia. Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) telah dilaksanakan sejak 2003 di 76 buah kem latihan di seluruh negara. Sehingga akhir tahun 2005, seramai 135,700 belia telah dilatih dalam program yang memakan masa selama 3 bulan merangkumi modul pembangunan fizikal dan mental, pembinaan sahsiah disamping menyemai semangat cintakan tanah air. MBM berharap banyak ruang dan peluang diberikan kepada pertubuhan belia untuk bersama dalam menjayakan program ini.

3.7 Sebanyak RM 5.4 bilion telah diperuntukkan di bawah RMKe-9 bertujuan untuk mengupayakan belia meliputi pelbagai program latihan kemahiran dan kepimpinan yang akan dilaksanakan oleh Kementerian Belia Dan Sukan, Kementerian Pembangunan Usahawan Dan Koperasi serta Kementerian Sumber Manusia. Melalui penambahan peruntukan ini kerajaan beriltizam untuk memastikan generasi muda di Malaysia mampu cemerlang bukan hanya di arena tempatan tetapi juga di arena antarabangsa. Seharusnya pertubuhan
belia menggambil peluang tersebut di atas bagi membantu mendanai aktiviti mereka. Pegawai di kementerian terbabit seharusnya menjemput wakil belia dalam semua perbincangan dan aktiviti tersebut.

3.8 Berdasarkan takrifan belia dari umur 15-40 tahun, maka program pembangunan belia harus dipikul secara bersama oleh semua kementerian, kerajaan negeri mahupun PBT. Sudah tiba masanya pendekatan rentas kementerian (cross ministrial) diberi keutamaan dalam aspek pembangunan belia. Tentunya untuk mencapai maksud tersebut maka dicadangkan satu badan koordinator yang berpusat atau sebuah suruhanjaya perlu diwujudkan bagi maksud tersebut di atas.

3.9 Memperkemaskan kepimpinan dan pentadbiran pertubuhan belia melalui peningkatan pengetahuan dan kemahiran.
Setiap daripada pemimpin pertubuhan dan ahli pertubuhan perlu meningkatkan pengetahuan dan kemahiran pengurusan. Kursus perlu diikuti.
Ilmu pengurusan meliputi pentadbiran projek, pengurusan masa yang berkesan, mengurus rekod, sistem fail, surat, mengendalikan mesyuarat, pengurusan masalah, pengurusan kewangan, ICT dan lain-lain. Perbincangan secara telus, bersikap terbuka, berpatisipasi secara aktif dalam apa jua program dan perbincangan. Perlu melahirkan masyarakat yang berilmu dan bermaklumat.

3.10 Merancakkan aktiviti ekonomi oleh ahli pertubuhan belia berteraskan IKS makanan, pertanian, penternakan dan pelancongan.
Pertubuhan belia dan ahli pertubuhan berupaya merancakkan aktiviti ekonomi. Ia juga boleh mengurangkan pengangguran dan masalah sosial dalam negara. Banyak kursus dan program yang ditawarkan oleh Kerajaan mahupun swasta dalam aktiviti ekonomi ini. Ia perlu diterokai oleh semua ahli pertubuhan.

3.11 Memupuk semangat muhibbah dan toleransi tinggi
Pertubuhan belia berperanan besar sebagai agen pemersatu dan pemupukan semangat muhibbah antara kaum, agama dan budaya. Guna aktiviti kemasyarakatan, budaya dan kesenian sebagai pencetus semangat ini.

3.12 Agen Perubahan Masyarakat
Pertubuhan belia perlu bertindak sebagai agen perubah dalam masyarakat. Wujudkan suasana harmoni dan gaya hidup sihat. Membantu kerajaan dalam membasmi masalah sosial seperti dadah, mat rempit, rasuah dan lain-lain. Menjadi mata dan telinga kerajaan dalam usaha membasmi gejala tidak bermoral.

3.13 Mengatur program untuk orang muda
MBM percaya bahawa orang muda boleh didekati apabila kita mengurus dan mengenali minat mereka. Justeru cabaran pertubuhan belia mengenal pasti minat mereka dan mengaturkan program untuk mereka. Dengan mengenali dan memahami kehendak mereka, pertubuhan belia akan diminati dan ramai yang akan terlibat dengan aktiviti pertubuhan belia serta berjaya meramaikan ahli pertubuhan belia.
Pertubuhan belia diberikan tanggungjawab mengatur program manakala pihak yang berwajib seperti KBS bertindak sebagai pemantau program, koordinator antara jabatan atau kementerian.

4.0 JUSTIFIKASI
Dalam menangai gejala sosial semua pihak harus bertindak secara kolektif dan berterusan. Pendekatan baru yang sedikit radikal mungkin amat diperlukan dalam merealisasikan hasrat kerajaan dalam melahirkan rakyat Malaysia yang Hadhari dan disegani oleh semua bangsa di dunia ini. Apatah lagi wawasan 2020 juga semakin hampir dan kita semakin kesuntukan masa.
“Generasi muda adalah tunas dan tenaga baru amat penting kepada pembangunan negara memandangkan mereka adalah pewaris kepada apa yang ditinggalkan generasi lama”


Ucapan YAB. Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi semasa Sambutan Tahun Baru Cina anjuran Pertubuhan Belia Cina (EMCO), pada 9 Februari 2004.

Monday, May 10, 2010

PERANAN KERAJAAN DALAM PEMBANGGUNAN ANIMASI DI MALAYSIA


Assalamualaikum.

Penulis bukanlah seorang yang mempunyai kepakaran dalam bidang animasi mahupun mempunyai ilmu yang cukup meluas untuk memperkatakan mengenai perkembangan industri animasi di Malaysia ini. Namun sebagai rakyat biasa, penulis berasa tidak ada salahnya untuk penulis menyampaikan pandangan penulis mengenai perkembangan industri animasi di Malaysia. (Itulah peranan blog, platform kepada sesiapa sahaja untuk berbicara).

Sebentar tadi penulis baru melawat laman web Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak. Dalam laman web 1 Malaysianya, penulis tertarik dengan pendapatnya mengenai keperluan memajukan industri animasi di Malaysia. Keprihatinan Perdana Menteri (Kemungkinan) mengenai industri animasi di Malaysia membuktikan bahawa, kerajaan tidak pernah terlepas pandang dengan golongan karyawan seni kreatif ini.

Bukan mudah untuk melihat seorang Perdana Menteri melihat industri kreatif sebagai satu unsur penting dalam pembinaan negara bangsa. Mungkin Najib Razak mengambil pendekatan Mantan Perdana Menteri Malaysia ke 4, Tun Dr Mahathir yang (agaknya) mengambil perhatian mengenai karyawan seni dalam bidang perfileman, yang dapat dibuktikan dengan impiannya mahu menjadikan E-Village sebagai Hollywood Malaysia (Tetapi sayangnya E-Village terkubur sebelum mula beroperasi).

Berdasarkan pengetahuan penulis, perkembangan animasi di Malaysia bermula dengan lahirnya 'Unit Filem Malaya' pada tahun 1946, atau kini lebih dikenali dengan nama 'Filem Malaysia'. Animasi 'Hikayat Sang Kancil' merupakan animasi pertama yang dihasilkan oleh Malaysia pada tahun 1978, dan ianya mula ditayangkan di kaca televisyen sekitar tahun 1983 (Penulis masih ingat beberapa babak dalam cerita berkenaan & ianya selalunya ditayangkan di TV Pendidikan). Filem pendek yang lain pula ditayangkan setahun selepas animasi Sang Kancil dipancarkan ke kaca TV. Dan antara animasi tersebut mengadaptasi cerita kanak-kanak tradisional seperti Sang Kancil & Monyet, Sang Kancil & Buaya, Gagak Yang Bijak, Arnab Yang Sombong dan Singa Yang Haloba.

Dan setelah tahun tersebut, Malaysia sunyi dengan sebarang penghasilan animasi, sehinggalah tahun 1998, filem animasi Pertama Malaysia, Silat Lagenda menjengah ke pawagam, sekaligus membuka minda masyarakat mengenai kepakaran anak tempatan dalam menghasilkan animasi.

Oh tidak terlupa juga, animasi Usop Sontorian yang lahir pada tahun 1990an dengan teknologi digital pertama, sekaligus menjadi animasi bersiri pertama Malaysia yang ditayangkan di kaca televisyen. Ini diikuti dengan siri animasi seperti 'Yokies', 'Sang Wira'(Sempena Sukan Komenwel 1998), 'Kampung Boy (Karya Datuk Lat)' 'Anak-anak Sidek', 'Keluang Man' dan lain-lain lagi.

Filem Upin dan Ipin pula dilihat menjadi satu bahan ikutan kepada anak-anak kecil dan juga kaum dewasa pada hari ini. Secara tidak lansungnya membuktikan animasi mempunyai 'kuasa' dan daya penariknya yang tersendiri.

Sekiranya kita merujuk ke negara barat terutama Amerika Syarikat, kita dapat lihat animasi ini merupakan platform bagi mereka untuk menyampaikan mesej ideologi kekuatan Amerika Syarikat kepada kanak-kanak di seluruh dunia. Dan bayangkanlah sekiranya sejak dari kecil lagi kita disajikan dengan animasi yang menampilkan kehebatan Amerika, secara tidak lansung kita sendiri secara tidak disedari akan membuat tanggapan 'hebat' mengenai negara berkenaan.

Selain itu animasi juga dapat dijadikan satu produk identiti Malaysia. Sepertimana yang kita ketahui, sejak akhir-akhir ini, Malaysia telah dituduh 'mencuri' kebudayaan negara lain hanya disebabkan kesilapan yang dilakukan oleh pihak ketiga. Dan kita sendiri lihat bagaimana Malaysia dihina dengan begitu teruk oleh bangsa yang lupa dengan konsep serumpun. Maka melalui animasi, kita dapat melahirkan satu lagi ikon baru bagi Malaysia.

Dan ini telah dilakukan oleh Jepun sejak dari dahulu lagi. Bangsa Jepun telah mencipta ikon mereka melalui animasi. Doreamon, Shin Chan, Detective Conan adalah nama-nama kartun yang secara tidak lansungnya mempromosikan budaya Jepun kepada masyarakat luar.

Dan hari ini kerajaan telah menyedari keberkesanan animasi dalam membentuk pemikiran rakyatnya. Usaha Najib memperkasakan kembali dunia animasi Malaysia melalui galakkan kemasukkan pelabur luar ke dalam MDeC merupakan satu langkah awal dalam menghidupkan kembali animasi di Malaysia.

Sumber : PENA MINANG

Sunday, May 9, 2010

DIMANA KEKUATAN BANGSA MELAYU???



















Assalamualaikum.

Dimana terletaknya kekuatan Melayu?

Di bajunya kah?

Di capalnya kah?

Atau di songkoknya?

Inilah perkara yang sering bermain di benak pemikiranku. Dimanakah letaknya kekuatan bangsa Melayu...

Mengikut catatan sejarah, orang Melayu merupakan satu bangsa yang terkenal dan handal dalam ilmu pelayaran dan perdagangan. Jika tidak masakan lahirnya kerajaan-kerajaan maritim seperti Langkasuka, Kerajaan Kedah Tua, dan Melaka. Malah kekuatan dan kehebatan orang Melayu dalam ilmu perdagangan diakui oleh penjelajah barat.

Kita lihat pada sejarah, sebelum kedatangan penjajah barat ke Tanah Melayu, orang Melayu telah pun mempunyai sistem pemerintahan yang tersendiri. Walaupun ianya bukanlah sistem demokrasi sepertimana yang diagung-agungkan oleh 'budayawan demokrasi' di Malaysia ini, namun sistem pemerintahan pada era kesultanan Melayu Melaka membuktikan orang Melayu tidak memerlukan 'sistem luar' dalam urusan pentadbiran kerajaannya.

Walaupun terdapat beberapa pandangan dari tokoh sejarahwan yang mengatakan sistem politik di era kesultanan Melaka tidak telus dan penuh dengan unsur rasuah, aku merasakan pandangan yang dikemukakan oleh tokoh-tokoh berkenaan adalah tidak tepat dan terlalu lemah dari aspek faktanya.

Pertama sekali aku melihat dari mana tokoh-tokoh sejarahwan itu mendapatkan informasi mengenai 'kelemahan' sistem pemerintahan kesultanan Melayu Melaka. Jika mereka bersumberkan dari hasil-hasil tulisan yang ditulis oleh tokoh-tokoh sejarahwan eropah, maka ianya sudah cukup membuktikan bahawa segala andaian mereka ini tidak boleh diterima pakai. Mengapa aku berkata sedemikian? Jawapannya mudah, kita lebih mengetahui siapa diri kita dan apa kehebatan bangsa kita. Siapa mereka mahu menafsirkan siapa diri kita?

Walaubagaimanapun ianya bukan bermakna penulis menolak mentah-mentah segala hipotesis mereka, namun penulis mahukan kita semua berhati-hati apabila menerima sesuatu kenyataan ataupun jawapan dari pihak-pihak berkenaan.

Kembali kepada topik asal. Dimanakah kekuatan bangsa Melayu? Ada yang mengatakan bahawa kekuatan orang Melayu terletak pada politik, manakala ada yang mengatakan kekuatan bangsa Melayu terletak pada silat. Namun bagi aku orang Melayu tidak mempunyai apa-apa kelebihan dan kehebatan. Mereka serupa dengan bangsa lain di dunia ini. Tinggal di planet bumi, menghirup udara yang percuma dan minum air dari air yang diciptakan oleh ALLAH. Tetapi tidak sedarkah kalian, bahawa orang Melayu kuat disebabkan agama ISLAM yang dianuti mereka?

Kenapa aku berkata sedemikian? Kita kembali kepada fakta sejarah, walaupun wujud kerajaan Melayu sebelum kedatangan ISLAM ke tanah Melayu, tidakkah kita sedar bahawa kerajaan-kerajaan Melayu ini berposisi sangat kecil dan sering diserang oleh kuasa-kuasa besar seperti Siam. Malah ada diantara negara terpaksa menghantar wang ufti ke negara-negara kuasa besar seperti Siam bagi menjamin keselematan negaranya. Namun setelah kedatangan ISLAM, orang Melayu telah mula bangkit dan membina sebuah kerajaan yang kuat sehingga mampu menggerunkan negara-negara jiran mereka yang sebelum ini menjadi ancaman kepada kerajaan-kerajaan kecil orang Melayu.

Melalui ISLAM, orang Melayu telah diajar bersatu dibawah panji-panji ALLAH. Sultan bergelar Khalifah dan diberikan kuasa mentadbir dan memerintah berdasarkan peruntukan kuasa yang telah ditentukan oleh ALLAH dan RasulNYA. Dan jika kita mengkaji sejarah secara lebih mendalam, apabila datangnya ISLAM ke Tanah Melayu dan Melaka khususnya, maka bermulah detik kegemilangan Melaka.

Dan ianya juga mempunyai satu jalan cerita yang sama, yang berlaku di Madinah. Madinah atau Yatrib tidak begitu dikenali di kalangan Jazirah Arab, namun setelah kedatangan ISLAM, Madinah telah bertukar menjadi sebuah kerajaan ARAB ISLAM yang kuat sehingga mampu mengalahkan kerajaan-kerajaan yang besar seperti Rom dan Parsi yang telah lama wujud sejak sebelum kelahiran junjungan besar Nabi S.A.W.

Namun sayang sekali buat masa kini. Negara kita, walaupun diiktiraf sebagai sebuah negara ISLAM, masih terus berpegang dengan prinsip-prinsip dan jaringan politik yang diasakan oleh Yahudi. Kita masih bergelumang dengan maksiat Demokrasi. Yang melabelkan diri mereka atas nama 'Parti ISLAM' pun masih keliru dengan landasan yang mereka gunakan. Maka aku menyeru kepada semua umat Melayu, dimanakah sebenarnya kita sekarang? Percayalah kata-kataku, MELAYU nampak hebat disebabkan ianya bersemadi dengan ISLAM. ISLAM yang menaikkan NAMA MELAYU. ISLAM yang MENGUATKAN MELAYU. ISLAM yang MEMBINA JATI DIRI BANGSA MELAYU. Dengan kata lain, tanpa ISLAM, bangsa MELAYU hanyalah seperti 'JASAD TANPA ROH'

AYUH KITA KEMBALI KEPADA ISLAM YANG SEBENAR!!!

AYUH KITA KEMBALI MEMPELAJARI ISLAM BERLANDASKAN AL-QURAN DAN HADIS!!!

AYUH KITA RAWAT BANGSA KITA DENGAN ISLAM!!!!

NUKILAN : PENA MINANG

Tuesday, February 23, 2010

Peranan Intelek dalam Pembangunan Masyarakat

Setelah setengah abad Malaysia mengharungi zaman kemerdekaan, tidak kurang dari dua puluh institusi pengajian tinggi awam naik megah bertaburan di seluruh negara. Perkembangan ini tentunya turut disokong oleh para sarjana dan pemegang PhD dalam pelbagai kepakaran. Secara logiknya kehadiran para cendekiwan ini dapat mendorong budaya ilmu dan perubahan minda di kalangan masyarakat, khususnya di kalangan orang Melayu Muslim yang agak terkebelakang dari sudut pencapaian akademik.

Namun, secara umumnya budaya ilmu di kalangan masyarakat di negara ini belum banyak berubah. Kadar pembacaan buku ilmiah di kalangan masyarakat Melayu Muslim setiap tahun masih rendah. Fenomena ini mungkin sekali disebabkan oleh kesan penjajahan selama lebih 400 tahun yang masih menebal. Hal ini turut disebut oleh Profesor DiRaja Ungku Aziz. Menurutnya, sikap, persepsi dan kaedah berfikir kita ditanam oleh penjajah British sejak tahun 1920-an. Pemikiran orang Melayu sering dihalang daripada bercambah agar tidak menimbulkan penentangan terhadap penjajah.

Hasil semaian budaya yang menjauhkan masyarakat Melayu dari mencintai ilmu masih dapat diperhatikan pada hari ini. Kebanyakan pelajar-pelajar dari peringkat sekolah hinggalah ke universiti kurang budaya bertanya. Perasaan rendah diri yang sebati dengan jiwa orang Melayu menambah parah situasi tersebut. Selagi ada sikap rendah diri dan malu bertanya, masyarakat Melayu akan terus berada di bawah tempurung kejumudan.

Golongan intelek khususnya perlu turun padang dan mengubah cara pemikiran sedemikian. Mereka tidak sepatutnya merasa selesa menganalisis permasalahan masyarakat di sebalik bilik atau makmal sahaja. Keadaan ini menyebabkan golongan intelek di persada gading sering digelar sebagai ‘pensyarah kangkung’ oleh sesetengah pihak yang menuntut mereka sama-sama menyelami permasalahan masyarakat secara ‘hands-on’.

Sikap sesetengah pensyarah ini diburukkan lagi dengan halangan menyuarakan pendapat secara kritis, terutamanya apabila melibatkan pandangan yang bertentangan arus dengan pihak pemerintah. Namun, sikap ‘berani kerana benar’ masih dipegang oleh segelintir pensyarah dan intelek yang masih ada harga diri dan integriti.

Pengkhianatan goloangan intelek lebih ketara apabila teori-teori yang digagaskan gagal diaplikasikan bagi menambahbaik keadaan dalam masyarakat. Perbincangan demi perbincangan dilakukan dalam seminar dan konvensyen, namun resolusi tersebut kebanyakannya tidak sampai ke bawah. Kitaran ilmu di kalangan intelektual melalui jurnal dan buku berindeks kebolehbacaan yang tinggi tidak dapat dimanfaat oleh masyarakat kebanyakan. Maka perasaan ‘syok sendiri’ dengan teori dan falsafah yang diformulakan menyelubungi para profesor kita.

Abdollah Vakily, melalui tulisannya dalam The American Journal of Islamic Social Sciences menyatakan bahawa Ilyas Ba-Yunus dan Farid Ahmad mencadangkan agar masalah sosial perlulah dilihat dari sudut fitrah manusia sebagaimana termaktub dalam Al-Quran. Seterusnya pelan startegik harus direncanakan melalui pengetahuan sains sosial agar penyelewengan tingkah laku dapat diperbetulkan. Jelas di sini, Islam menggariskan syarat bahawa ilmu dan kepakaran yang diterima harus digunakan bagi membaiki kepincangan manusia yang melencong dari jalan yang lurus.

Pendeta Za’ba dalam bukunya ‘Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri’ menyatakan bahawa nasib orang Melayu Melayu bergantung kepada persepsinya terhadap diri dan persekitarannya. Worldview atau pandangan hidup orang Melayu harus diubah dan cendekiawan Muslim adalah pemangkin perubahan tersebut. Mampukah intelek Muslim mengubah apa yang ada dalam diri mereka untuk mengubah masyarakat?

MATLAMAT HIDUP

Kebanyakan orang tidak mengetahui apa yang diingininya dalam hidup. Mereka tiada satu matlamat yang dituju dalam hidup. Sesetengah yang lain pula mempunyai matlamat tetapi kabur. Matlamat amat penting bagi mereka yang inginkan kejayaan. Ia mentakrifkan dengan jelas apa yang mahu dicapai dalam jangka masa yang spesifik.

Matlamat hidup umpama tiang gol di dalam sebuah permainan bola sepak. Tanpanya, anda tidak fokus dan bermain tanpa tujuan. Anda akan hanya menghabiskan masa sembilan puluh minit berlari-lari di dalam padang. Begitulah juga dengan manusia. Manusia yang tidak tahu matlamat hidupnya umpama menghabiskan masa hayatnya di dunia tanpa tujuan.

Menurut Maxwwell Maltz, di dalam tubuh manusia terdapat satu sistem atau mekanisma dalaman yang berfungsi memandu kita mencapai matlamat yang telah ditetapkan. Untuk mekanisma tersebut berfungsi, ia perlu kepada satu sasaran untuk ia capai. Oleh itu, kita perlu menetapkan satu matlamat spesifik yang boleh dicapai.

Tanpa matlamat hidup yang berkesan, mungkin anda tidak akan mencapai matlamat yang ditetapkan. Apabila anda tidak melihat kepentingan menetapkan matlamat, anda hilang semangat untuk berusaha mencapainya. Keyakinan diri juga diperlukan bagi memastikan anda terus bersemangat.

Musuh anda yang paling besar apabila anda mahu mencapai matlamat adalah perasaan takut mencuba. Ia akan menguburkan potensi dan bakat yang anda miliki. Anda harus menerima kenyataan bahawa hidup ini penuh dengan halangan dan orang yan g berjaya adalah mereka yang berdepan dengan halangan-halangan hidup.

Apa yang dikatakan matlamat hidup yang berkesan? Satu matlamat yang berkesan boleh dikenalpasti dengan menggunakan akronim ‘SMART’.

‘S’ - Spesifik. Matlamat yang spesifik ada kayu ukur yang boleh diukur. Contohnya, “Saya akan mendapat 8A dalam PMR pada tahun 2008”. Bilangan A boleh diukur dan ditentukan pencapaiannya.

‘M’ – Measurable (boleh diukur).

‘A’ - Attainable (boleh dicapai).

‘R’ - Realistik. Pastikan matlamat yang anda tetapkan bertepatan dengan keupayaan dan kemahiran anda. Ini kerana kegagalan mencapai matlamat yang tidak realistik akan hanya menyebabkan anda berasa hamapa dengan diri sendiri. Namun, matlamat mestilah mencabar kerana kajian telah menunjukkan bahawa matlamat yang mencabar akan menghasilkan prestasi yang lebih tinggi.

‘T’ - Time-bounded (punyai batasan waktu). Apabila sesuatu matlamat tiada batasan waktu, ia akan hanya melengahkan anda daripada mencapainya. Penetapan suatu jangka waktu akan menjadi motivasi kepada anda untuk mencapainya dalam jangka waktu yang ditetapkan.

Panduan Mencapai Matlamat

1. Tetapkan matlamat-matlamat utama anda berasaskan misi peribadi anda. Tuliskan matlamat tersebut di atas kertas. Tampalkan atau letakkan di tempat yang anda mudah lihat.

1. Pecahkan matlamat-matlamat anda kepada matlamat jangka panjang(lima tahun atau lebih), matlamat-matlamat jangka sederhana (antara 1-5 tahun) dan matlamat-matlamat jangka pendek(kurang daripada setahun).

2. Susun matlamat-matlamat anda mengikut keutamaan. Tanyalah diri anda, “Matlamat manakah paling genting untuk membantu saya mencapai tujuan saya yang utama?”. Tumpukan usaha anda untuk mencapai matlamat yang lebih penting dahulu.

3. Sediakan pelan-pelan tindakan untuk mencapai matlamat-matlamat anda. Kata orang bijaksana, “Orang yang gagal merancang, merancang untuk gagal.”

4. Hidupkan keinginan yang berkobar-kobar untuk mencapai matlamat-matlamat anda. Bayangkan matlamat-matlamat itu sebagai sudah tercapai dari semasa ke semasa. Fikirkan selalu tentang manfaat atau kepuasan yang anda akan nikmati hasil daripada pencapaian matlamat-matlamat anda.

5. Semak semula kemajuan ke arah pencapaian matlamat-matlamat anda dari semasa ke semasa. Buat pembaikan di mana perlu agar anda terus konsisten mencapai matlamat yang telah anda tetapkan.

Monday, February 22, 2010

REVOLUSI KEBANGKITAN BANGSA MELAYU

ASAS UTAMA dalam kejayaan mencetuskan REVOLUSI MELAYU adalah:-

I. AGAMA ISLAM.

II. ADAT DAN BUDAYA MELAYU.


AGAMA ISLAM

1. Semua orang Melayu beragama ISLAM adalah BERSAUDARA dan wajib membantu antara satu sama lain contohnya:-

a)MEMBANTU perniagaan atau perusahaan sesama Melayu dengan mengutamakan berbelanja di kedai atau perusahaan kepunyaan orang Melayu terlebih dahulu.

b)MENGUTAMAKAN MEMBELI BARANGAN BUATAN MELAYU supaya perniagaan usahawan Melayu terus maju dan berkembang dan kekayaan dikalangan orang Melayu bertambah.

c)Bagi Melayu yang kaya akan MENDERMA pembinaan sekolah, masjid, dewan orang ramai, kompleks sukan, kompleks kedai dengan sewa murah, kompleks seni budaya, taman asuhan kanak-kanak dan sebagainya.

d)Sentiasa bersedia MENOLONG saudara sebangsa dan seagama yang dalam kesusahan atau yang memerlukan pertolongan dengan niat yang suci dan ikhlas.

2. ISLAM mengajar orang Melayu perkara BAIK & BURUK / PAHALA & DOSA / HARAM & HALAL, antaranya supaya:-

a)MEMBEZAKAN perbuatan buruk(dosa/haram) dan perbuatan baik(pahala/halal).

b)MEGHAPUSKAN hasad-dengki (dosa/haram) dan saling sayang-menyayangi dan menghormati sesama Melayu dan manusia.(pahala/halal).

c)MEMILIH pemimpin dikalangan Melayu yang jujur, bijak, suka membuat baik dan beramal (pahala/halal) bukannya pemimpin yang suka makan rasuah, bodoh, bangang, pak turut dan buruk (dosa/haram).

d)MEMBELI barangan buatan Melayu sahaja yang dijamin HALAL (baik/pahala) dengan niat membantu usahawan dan peniaga Melayu untuk terus maju dan berkembang (baik/pahala).

e)MENDIDIK peniaga dan usahawan Melayu supaya JUJUR dengan sentiasa memberikan yang TERBAIK(pahala/halal) kepada SEMUA PELANGGAN samada dari segi mutu harga dan servis/layanan dan sebagainya

3.BANYAK LAGI ketinggian ilmu dalam Agama Islam yang akan membawa kebaikan dan kejayaan kepada bangsa Melayu jika dihayati dan diamalkan dengan tertib dan sempurna.

4. KESIMPULAN:- ISLAM adalah satu agama yang LENGKAP yang mencakupi keseluruhan bidang kehidupan manusia termasuk sosio ekonomi, perniagaan, sains, politik dan lain-lain yang sepatutnya menjadi asas kepada REVOUSI MELAYU!!!


ADAT DAN BUDAYA MELAYU

1. Adat dan budaya adalah asas kepada JATI DIRI bangsa Melayu.

2. Adalah TIDAK BENAR dan AMAT BODOH sama sekali pandangan bahawa adat dan budaya menyebabkan Melayu mundur. Tetapi yang peliknya ada dikalangan Melayu sendiri yang mengaku bijak pandai (TAPI BANGANG SEBENARNYA) mengatakan Melayu akan mundur bila dikongkong adat. Katakan kepada mereka yang cerdik tapi BANGANG ini bahawa orang Melayu hanya MENGAMALKAN adat dan budaya mereka BUKANNYA DIKONGKONG oleh adat dan budaya. Orang Melayu SEBENARNYA yang MENGAWAL adat dan budaya itu BUKANNYA DIKAWAL oleh adat dan budaya!

3. Sebaliknya adat dan budaya akan menjadikan orang Melayu lebih mengenali JATI DIRI bangsanya dan meyemarakkan semangat KEKITAAN yang amat kuat untuk BERSATU mengangkat martabat dan mengeluarkan bangsa dari kemunduran dan kedaifan.

4. Contohnya amalan GOTONG-ROYONG di dalam adat perkahwinan Melayu mencetuskan semangat tolong-menolong, saling menghormati, sopan-santun, dan KEHALUSAN BUDI yang amat tinggi yang tiada tolok bandingnya di dunia ini.

5. Adat dan budaya Melayu yang KAYA juga merupakan asas kepada fesyen, sukan, tarian, masakan, kuih-muih, ulam-ulaman, perubatan herba, nyanyian, lakonan, kraftangan dan banyak lagi khazanah dan karya agung yang amat unik, warna-marni dan indah serta amat dikagumi oleh seluruh dunia.

6. Contohnya SUKAN SEPAK RAGA Melayu menjadi asas kepada permainan SEPAK TAKRAW yang kini telah bertaraf dunia.

7. SILAT MELAYU juga telah dipertandingkan hingga ke taraf dunia. Malangnya di dalam majlis keramaian Melayu pertunjukkan silat hampir pupus. Jika orang Cina dengan Tarian Naga/Singa sering dimainkan ketika Tahun Baru atau pembukaan kedai mereka, kenapa SILAT MELAYU tidak boleh dipersembahkan ketika Hari Raya atau pembukaan kedai orang Melayu? Salah di segi undang-undang ke? Berdosa ke? Kenapa tae-kwan-do dan karate begitu popular di ajar di sekolah tetapi SILAT MELAYU tidak?

8. FESYEN baju kurung melayu (lelaki/perempuan), kurung kedah, kebaya, songket, batik, cekak musang, teluk belanga dan lain-lain. Itu belum masuk lagi fesyen-fesyen suku kaum Melayu seperti Jawa, Minangkabau, Bugis, Pattani, Riau, Champa dan lain-lain yang masih banyak belum diterokai dan diketengahkan/digubah ke dalam dunia fesyen moden dan kontemporary lagi!!!

9. MASAKAN, KUIH-MUIH dan ULAMAN Melayu telah lama diterima dunia dan sekarang menjadi sajian di hotel-hotel bertaraf antarabangsa!!!!

10. BIOTEKNOLOGI? Orang Melayu telah mendahului bangsa lain di dunia dalam penemuan tapai! Mungkin lebih dulu dari orang Arab yang menemui keju!

11. UBATAN HERBA? Bangsa Melayu setanding atau mungkin lebih baik dari orang China dan India dalam perubatan herba!! Cuma orang Melayu masih belum menerokai sepenuhnya.

12. BANYAK lagi ketinggian, kehalusan dan kepelbagaian di dalam adat dan budaya Melayu yang akan membawa kepada penyatuan dan ketinggian tamadun Melayu.

13. KESIMPULAN: Adat dan Budaya Melayu yang TINGGI, KAYA, HALUS, BERHEMAH dan PELBAGAI adalah asas yang amat diperlukan oleh orang Melayu dalam membentuk JATI DIRI dan SEMANGAT KEKITAAN dalam memacu kejayaan REVOLUSI MELAYU!!!


RAMAI BERANGGAPAN ORANG BUKAN MELAYU MENJADI MAJU KERANA MEREKA TIDAK MENGAMAL ADAT DAN BUDAYA MEREKA…..BETUL KE????

SEBENARNYA ORANG BUKAN MELAYU AMAT BERPEGANG TEGUH DALAM MENGAMAL ADAT DAN BUDAYA MEREKA. SEBAB ITULAH JATI DIRI DAN SEMANGAT KEKITAAN MEREKA AMAT KUAT DIKALANGAN SESAMA MEREKA. DENGAN JATI DIRI DAN SEMANGAT KEKITAAN YANG KUAT INILAH MEREKA BERSATU MEMAJUKAN BANGSA MEREKA DI MALAYSIA DAN DI SELURUH DUNIA!

KITA BANGSA MELAYU MESTI BERPEGANG KUAT KEPADA AGAMA, ADAT DAN BUDAYA SEBAGAI ASAS KEPADA JATI DIRI DAN PENYATUAN BANGSA MELAYU UNTUK MEWUJUDKAN SEMANGAT PERSAUDARAAN DAN KEKITAAN YANG KUAT SEPERTI YANG DITUNTUT OLEH AGAMA, ADAT DAN BUDAYA KITA!!!

DENGAN PENYATUAN, JATI DIRI DAN SEMANGAT KEKITAAN YANG KUAT SAHAJALAH BANGSA MELAYU AKAN BANGKIT MENJADI BANGSA YANG MAJU DAN BERMARUAH!!!

AGAMA ISLAM, ADAT DAN BUDAYA MELAYU MESTI MENJADI ASAS KEPADA REVOLUSI MELAYU!!!

REVOLUSI MELAYU!!! REVOLUSI MELAYU!!! REVOLUSI MELAYU!!!

MALAY REVOLUTION!!! MALAY REVOLUTION!!! MALAY REVOLUTION!!!


Bangkitlah bangsaku.

Bangkitlah demi Agama, Bangsa dan Tanahair (Alif, Ba, Ta)

Islam dan Agenda Membangun Ekonomi Melayu

Usaha membangun kekuatan ekonomi Melayu adalah suatu usaha yang berterusan dan menepati tuntutan Islam. Islam melihat aspek kekuatan ekonomi adalah sesuatu keperluan yang sangat penting. Tanpa kekuatan ekonomi, bangsa Melayu akan pincang dan akan dipinggirkan. Dan ini akan sekaligus menjadi agama Islam itu sendiri tidak dilihat sebagai agama yang berwibawa untuk membangun tamadun manusia. Islam adalah agama untuk umat manusia. Justeru itu jika bangsa Melayu menghayati pendekatan Islam dalam membangun ekonominya, ia sekaligus mampu memberi kesan yang positif kepada kesemua ahli masyarakat.

Pendekatan Islam dalam membangun kekuatan ekonomi mengambil pendekatan pembangunan manusia secara syumur dan sepadu (harmoni) dalam kesemua aspek keperluan pembangunan manusia seperti kerohanian dan kebendaan; kepentingan individu dan tanggungjawab individu kepada masyarakat; kepentingan generasi sekarang dan keperluan generasi masa hadapan; menghayati akhlak dalam kegiatan ekonomi dan sebagainya. Pendekatan ini membolehkan kejayaan ekonomi dicapai secara mantap dan mampu memperoleh kejayaan secara berterusan kerana pencapaian tersebut dijayakan melalui fitrah kemanusiaan.

Pendekatan ini berbeza dengan pendekatan fahaman ideologi sekular yang hanya melihat faktor ekonomi sebagai segala-galanya dalam membangun tamadun manusia. Bahkan individu manusia hanya dianggap sebagai makhluk ekonomi (homoeconomicus) yang berkeinginan untuk membolot kekayaan untuk dirinya sahaja. Pendekatan ini menimbul banyak gejala kepada penyusunan masyarakat/negara dan sekaligus mengugat kemantapan prestasi ekonomi masyarakat/negara secara berpanjangan. Kemajuan ekonomi sesebuah negara memerlui kepada keharmonian masyarakat negara terbabit.

Dalam membangun ekonomi bangsa Melayu di Malaysia, beberapa agenda berikut perlu diberi perhatian yang bersungguh-sungguh semoga minda Melayu dididik, kelakuan Melayu diasuh dan sekaligus membina daya juang yang berkesan semoga pendekatan dan matlamat yang dihayati turut diyakini sebagai tindakan yang direstui oleh Islam.

Pertama, Islam hendaklah dilihat sebagai agama yang lengkap dan mampu untuk menyusun umat manusia. Justeru itu falsafah dan pandangan hidup Islam perlu menjadi asas dalam penggubalan membina gagasan teori (theoretical framework) yang meliputi prinsip, struktur, institusi, dasar dan instrumen dalam menyusun sistem ekonomi semasa. Dalam konteks penyusunan dan pembangunan ekonomi prinsip al-adl wal ihsan hendaklah menjadi asas panduan. Prinsip ini memberi tekanan kepada semangat keadilan dan muafakat ekonomi sebagai asas utama dalam penyusunan perjalanan ekonomi dalam masyarakat. Kegagalan mengubal bentuk dan strategi sistem ekonomi semasa menepati prinsip Islam tersebut akan membantut kecekapan bangsa Melayu untuk membangun ekonominya.

Kedua, Islam menuntut umatnya, dalam konteks ini bangsa Melayu kepada memahami perkembangan dan tuntutan ekonomi semasa semoga mereka mampu merancang untuk merebut peluang ekonomi di dalam dan di luar negara. Konsep berperanan di arena antarabangsa adalah tidak asing kepada Islam, yang pada hakikatnya merupa agama untuk manusia sejagat.

Malaysia yang merupakan negara ketujuh belas dagangan terbesar di dunia sudah pasti akan menghadapi cabaran yang hebat dari proses globalisasi yang tidak boleh dibendung itu. Ini adalah satu senario yang mempengaruhi dunia keseluruhannya. Justeru itu kemampuan bersaing di peringkat sejagat memerlukan kemampuan mencipta dan menghasil barangan dan perkhidmatan baru yang bermutu dengan disertai pencetusan permintaan yang besar. Berasaskan kepada keadaan tersebut bangsa Melayu dituntut oleh Islam untuk berperanan di arena antarabangsa. Dalam kata lain Islam menuntut bangsa Melayu berjiwa besar.

Justeru itu salah satu aspek yang penting ialah kepada penambahbaikan kepada corak pengurusan organisasi dan peruntukan untuk penyelidikan dalam organisasi milik Melayu. Di Malaysia pada contohnya, hanya 0.3% daripada Keluaran Negara Kasar (KNK) diperuntukkan untuk penyelidikan dan pembangunan (Research and Development) manakala di negara maju 2% - 3 % KNK. Melalui usaha-usaha tersebut masyarakat Melayu akan berkebolehan berperanan di peringkat sejagat.

Dalam hubungan tersebut untuk terus meningkat daya persaingannya, bangsa Melayu perlu mengambil langkah berikut:

* Melantik pemimpin yang benar-benar layak menerajui organisasi Melayu.
* Meningkat mutu prestasi pengurusan organisasi melalui peningkatan keberkesanan kos pengurusan dan kelancaran sistem organisasi.
* Meningkat penghasilan pekerja melalui pembangunan pekerja berillmu (knowledge worker).

Pekerja berilmu ataupun dalam istilah semasa `modal insan' boleh dicapai melalui usaha berikut:

* Membina pekerja yang memiliki pandangan hidup yang sempurna serta progresif menepati ajaran Islam;
* Membina sahsiah pekerja yang berintegriti dan dinamik. Setiap pekerja hendaklah berkemahuan untuk maju serta berusaha membangun kekuatan masyarakat;
* Meningkat kepakaran dan kemahiran pekerja dalam menguasai pengetahuan dalam bekerja (termasuk dalam seni kepimpinan, corak pengurusan) dan ilmu sains dan teknologi (termasuk ICT);
* Membudayakan pekerja untuk meningkat mutu kreatif dan innovatif dalam kesemua aspek pekerjaan.

Ketiga, bangsa Melayu perlu digalak melibatkan diri dengan kegiatan perniagaan. Usaha kerajaan untuk membentuk golongan perdagangan dan perindustrian Melayu perlu sepenuhnya mengambil pendekatan Islam melalui usaha-usaha berikut:

Pada mulanya pihak berwajib perlu mengemukakan pandangan Islam terhadap urusan perniagaan. Rasulullah s.a.w., isteri baginda, Saidatina Khadijah dan beberapa sahabat besar Baginda adalah ahli perniaga yang berjaya. Bahkan mengikut Islam perniaga yang jujur dan beramanah akan dibangkit di Hari Akhirat bersama dengan para Nabi, orang-orang yang benar dan para syuhada.

Di samping mulianya anugerah Islam kepada individu perniaga, aktiviti perniagaan merupakan sumber rezeki terbesar, iaitu sembilan puluh peratus dari sumber-sumber rezeki Allah s.w.t. Justeru itu jika umat Islam berkeinginan untuk membangun kekuatan ekonomi, mereka perlu melibatkan diri dan dengan berkesan dalam kegiatan perniagaan.

Dalam rangka membangun penguasaan sektor perniagaan, bangsa Melayu perlu memiliki jiwa besar, iaitu jiwa sebagai bangsa yang mampu berperanan diperingkat antarabangsa. Matlamat ini boleh di jayakan jika perniaga Melayu menghayati strategi menguasai pasaran dalam perniagaan. Strategi ini menganjur kepada kebolehan bangsa Melayu membaca peluang perniagaan yang besar dan disertai dengan usaha meningkat mutu pengurusan, penghasilan barangan dan perkhidmatan yang bermutu mengatasi pengeluaran antarabangsa. Ini memerlukan usaha penambahbaikan untuk meningkat perkhidmatan perniagaan secara berterusan demi meningkat kebajikan umat manusia sejagat.

Melalui usaha-usaha di atas dengan jujur dan berkesan, tidak mustahil bangsa Melayu beragama Islam mampu menjadi satu bangsa yang maju dalam menguasai kedudukan ekonomi dan sekaligus mampu menjadi contoh ikutan.

Catatan : Penulisan Artikel ini oleh Nik Mustapha bin Nik Hassan